Cegah Masalah Jeragat Dari Akar Umbi

Sekalipun tiada rasa sakit, namun tompok hitam atau jeragat pada kulit atau biji hitam seperti tahi lalat pada wajah dan leher sememangnya memberikan rasa tidak selesa dan kadang kala menghilangkan keyakinan seseorang.

Kehadiran tompok hitam membuatkan warna kulit menjadi tidak sekata. Ini boleh berlaku pada semua orang pada suatu masa dalam hayatnya.

Masyarakat khususnya orang Melayu mengenali jeragat sebagai tompok hitam atau pigmentasi tumbuh pada beberapa bahagian badan, wajah dan leher serta celah ketiak.

Jeragat tidak berbahaya namun menyebabkan kulit muka individu kusam dan tidak bermaya sekaligus menjejaskan penampilan seseorang itu.

Kebiasaannya jeragat menyerang wanita pertengahan umur seperti 40 tahun ke atas. Tetapi tidak mustahil golongan awal 20an juga berdepan masalah ini berikutan jeragat juga berpunca daripada faktor genetik.

Masalah pigmentasi adalah perkara biasa terutama di kalangan wanita Asia. Statistik menunjukkan 40 peratus wanita dan 10 peratus lelaki mengalami masalah ini.

Wanita yang terdedah dengan cahaya matahari, risiko berdepan kulit berjeragat lebih besar.

Masalah pigmentasi juga dikesan daripada pengambilan ubat seperti pil perancang, amiodarone, bleomycine, chloroquine, antibiotik seperti minocycline dan lain-lain lagi.

Jeragat boleh dirawat sama ada dengan menggunakan ubat yang disapu pada kulit bermasalah atau secara fizikal melalui teknik pembedahan tertentu. Kesesuaian rawatan bergantung pada jenis jeragat.

Bagi mengatasi masalah jeragat, wanita disaran lebih peka terhadap penjagaan kulit termasuk mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan krim pelindung matahari sekiranya melakukan aktiviti luar selain mendapat rujukan doktor untuk mengenalpasti penyebab dan rawatan sesuai.

Semakin berusia individu itu semakin banyak jeragat yang timbul pada kulit. Walaupun jeragat adalah penyakit kulit, ia tidak berbahaya atau mengancam nyawa.

Tetapi bagi warga tua yang menghadapi masalah jeragat serius mereka disaran berjumpa doktor kerana dibimbangi ia bukan jeragat biasa tetapi sejenis kanser kulit.

Bagi mengelak terjadinya jeragat atau pigmentasi, kulit memerlukan tiga vitamin, A, C dan E untuk kekal sihat dan anda dinasihat mengamalkan pengambilan makanan seimbang serta pemakanan tambahan baik untuk mendapatkan kulit sihat.

Pengambilan vitamin A, C dan E, selenium dan zink adalah antioksidan yang membantu membaik pulih kolagen dan pemutihan kulit di samping memastikan pengambilan air yang cukup bagi mengekalkan keanjalan kulit.

Ada juga dikalangan mereka yang menghadapi masalah pigmentasi mendapatkan rawatan dari salun kecantikan dan pakar kulit. Rawatan yang digunakan adalah kaedah kosmetik seperti kupasan kulit dengan bahan kimia, rawatan laser, IPL (Intense Pulse Light) dan mikro-dermabrasi.

Rawatan kimia dan mekanikal ini hanya mengatasi masalah di bahagian luar kulit dan biasanya membawa kesan sampingan seperti kemerahan atau kesengatan kulit, jangkitan bakteria, kulit berparut dan keradangan hyper pigmentasi.

Oleh itu, sebaiknya nasihat pakar ialah mendapatkan kombinasi pemakanan supplemen tambahan semula jadi dengan penggunaan pelindung matahari dalam mengatasi masalah
pigmentasi dengan lebih berkesan dari akar umbinya.

Sumber: Berita Harian
Wednesday, March 17th, 2010

0 comments: