Lelaki & Minyak Wangi – Tip Pilih Haruman Sesuai

BIARPUN sekadar bau, pemilihan minyak wangi sesuai mampu menyerlahkan karektor empunya diri. Sama ada haruman daripada jenis Eau de Parfum (minyak) ataupun Eau de Toilette (semburan), lelaki harus memahami fungsi minyak wangi.

Jika dulu haruman dan wangian lebih dekat dengan wanita, lelaki zaman moden semakin menitik berat soal penjagaan diri termasuk menyembur haruman.

Sesuai dengan imej maskulin dan kelelakian, haruman untuk lelaki banyak berteraskan pati buah-buahan, rempah dan aroma kayu yang membangkit pesona dan tarikan maskulin.

Tidak seperti wanita yang lebih sinonim dengan unsur bunga-bungaan, haruman untuk lelaki lebih berunsur maskulin dan berbau sedikit kuat untuk menampakkan karektor sebenar lelaki.

Difahamkan, seni pembuatan minyak wangi bermula ketika zaman kuno masyarakat Mesir. Ia berkembang di kalangan masyarakat Rom dan Arab sebelum diperkenalkan di Eropah pada kurun ke-14. Perkataan perfume itu sendiri dipercayai berasal dari ungkapan Latin.

Pemilihan haruman yang sesuai mampu menonjolkan karektor diri, sama ada romantik, periang, tegas dan bercirikan individu.

Sama ada haruman berteraskan unsur rempah atau buah-buahan sitrus, ada minyak wangi dicipta lebih istimewa dengan kombinasi pelbagai bahan.

Fungsi haruman lelaki merangkumi perbezaan siang dan malam di mana unsur segar dan lembut lebih sesuai digunakan waktu siang manakala haruman jenis berempah dan kasturi sesuai disembur pada waktu malam.

Potensi pasaran untuk haruman lelaki semakin menggalakkan. Ini membuatkan banyak jenama meningkatkan kandungan selain mempelbagaikan haruman baru termasuk kandungan unisex.Secara keseluruhan lelaki urban menggemari haruman bercirikan maskulin. Jejaka juga suka haruman yang dapat bertahan lama.

Biar apapun pilihan haruman berdasarkan cita rasa dan identiti diri, pastikan minyak wangi yang digunakan sesuai dengan acara dihadiri. Elak menyembur minyak wangi beraroma kuat pada waktu siang serta usah menyimpan minyak wangi hingga tempoh tiga tahun dari jangka hayat penggunaannya.