Cara Membersihkan Wajah


Perkara rutin yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya 2 kali sehari ialah membersihkan wajah. Tetapi adakah ia benar-benar bersih???

Membersihkan wajah juga ada cara dan teknik yang tertentu bagi memastikan kita tidak hanya membazirkan pencuci muka kita yang "mahal" itu jika wajah tidak benar-benar bersih.

Pilihlah jenis pencuci muka yang sesuai dengan jenis kulit anda dan berikut adalah langkah-langkah untuk membersihkan wajah.

1. Cuci Mekap
Tanggalkan segala kesan mekap pada wajah anda menggunakan pencuci mekap yang tertentu. Ini penting agar cucian yang seterusnya benar-benar sampai ke pori-pori kulit. Caranya ialah menggunakan kapas muka tarik dari dalam ke luar wajah dan arah dari bawah ke atas. Ini penting bagi mengelakkan kulit kendur.

2. Cuci Maskara
Maskara yang kalis air memang sukar ditanggalkan begitu juga eyeliner yang berbentuk cecair. Jadi gunalah pencuci mata yang sesuai kerana ia bukan sahaja mudah menanggalkan maskara anda, ia juga mengandungi bahan yang dirumus khas untuk kulit bahagian mata yang lebih sensitif. Tekapkan kapas pada bahagian mata dan tarik turun ke bawah, ulangi ini sehingga semua kesan maskara tertanggal. Untuk lebih tradisional penggunaan minyak zaitun juga boleh menanggalkan maskara ini.

3. Marilah mencuci muka
* Basuh tangan dulu sebersih-bersihnya kemudian ikutlah arahan pada jenis pencuci muka yang anda gunakan itu.

* Jika jenis berbuih maka buihkan dengan campuran air yang secukupnya. Manakala jika jenis cream selalunya boleh terus diletakkan pada wajah, caranya dengan meletakkan 5 dot pada wajah iaitu kedua-dua pipi, dagu, dahi dan hidung kemudian basahkan tangan dan mulalah membersihkan wajah.

*Mulakan mencuci di bahagian pipi dengan gerakan memusar ke atas. Elakkan mengenai bahagian sekitar mata.

* Kemudian teruskan ke tepi hidung dan hidung, gunakan hujung jari manis untuk menanggalkan kotoran pada bahagian celah tepi hidung.

* Teruskan ke bahagian dahi dengan gerakan memusar juga hingga ke garis anak rambut kemudian ke sekeliling wajah dan diteruskan ke bahagian dagu dengan cara gerakan yang sama. Seterusnya ke bahagian bawah dagu dan leher. Habiskan langkah cucian ini sahaja selama lebih kurang 5 minit. Kemudian bersihkan sisa-sisa buih dengan air bersih.

* Lap muka dengan tuala lembut sehingga kering. Gunakanlah penyegar dan krim mata untuk kemasan sebelum mengenakan sebarang krim atau mekap.

* Seminggu sekali manjakan wajah dengan skrub dan masker.